Wednesday 4 March 2009

untuk Dia

SubhanAllah..Di kala hati di cucuk2 dan di tarik2 syaitan, Allah hulurkan rahmat & kasihNya buat penguat diri yang hina dan lemah ini..

Thank Allah..Thank you kak..



untuk Dia
March 4, 2009 by ar-rumaisa
(http://ar-rumaisa.blog.friendster.com/2009/03/untuk-dia/)

Ianya sesuatu yang sangat rumit untuk diungkapkan.…

Bila tiba musim cuti, banyaklah kad-kad undangan akan sampai ke pintu rumah. Maka sibuklah manusia menyusun pinggan mangkuk, memasang khemah, kompang dipalu dan lembu banyak yang tumbang buat menjamu para hadirin. Meriahnya majlis walimah dengan gelak tawa rakan-rakan bertemu raja dan permaisuri sehari. Itu kisahnya di Malaysia setiap kali musim cuti menjelma.

Dalam kemeriahan itu, tiada siapa yang tahu, di kala itu, mungkin terusik juga jiwa muda yang masih sendirian. Keinginan itu, kerinduan itu, timbul jua, apatah lagi apabila melihat banyak sudah bahtera yang berangkat memulakan pelayaran di lautan alam rumahtangga.

.

Arus yang menolak semakin lama semakin deras. Tetapi untuk memulakan pelayaran hanya kerana mengikut angin dan arus bukan sesuatu yang bijaksana. Tanpa kompas yang tetap arah tujunya, bahtera itu kelak akan hanyut dipukul ombak jahat.

Satu peringatan buat diri sendiri dan kawan-kawan yang dikasihi sekalian, setiap langkah kita perlulah atas kesedaran, kefahaman, tujuan dan perancangan, bukan kerana ikut-ikutan dan desakan perasaan. Berhijrah ke alam cinta biarlah dalam redha Allah subhanahu wa taala, dengan kesediaan untuk istiqamah di jalan Allah sekalipun bahtera sedang dilambung badai, tetap dan tidak berubah kompasnya. Hendaknya dicari teman hidup yang sanggup bersama jatuh bangun menelusuri jalan perjuangan yang jauh dan memenatkan. Barulah perkahwinan itu akan menjadi hadiah berharga buat umat. Kerana itu adalah titik mula, tapak semaian, buat generasi baru yang akan memakmurkan dunia dengan meninggikan kalimah Allah di alaf seterusnya.

Lihatlah diri sendiri menggunakan cermin kejujuran…nilailah diri sendiri dengan timbangan akal pemikiran…Adakah telah bersedia? Muhasabah adalah kuncinya…persediaan tarbiyyah, minda, fizikal dan material menjadi kekuatan kita menempuh arus kehidupan nanti.

Namun, saya sedar kita manusia bukan robot. Bukan mesin yang boleh diprogramkan begitu saja. Kita punya hati, jiwa dan emosi. Yang boleh terusik dan tertarik. Maka saya ingin mengingatkan diri sendiri dan kawan-kawan sekalian untuk berhati-hati dalam membuat pemerhatian dan penilaian, “Siapakah dia?”.

Syaitan tidak pernah bosan menimbulkan fitnah dalam hidup manusia. Tipudaya dan godaan itu tidak pernah berhenti. Kita mungkin terpesona dengan personaliti, penampilan, paras wajah, santun perwatakan… serba-serbinya menambah seri kehidupan. Tertarik dengan warna-warni itu, membenihkan perasaan cinta … debaran dan kegelisahan timbul bila bersua.. dari pandangan menjadi khayalan… lantas dunia baru tercipta!

Sebentar… hentikan dulu sketsa ini.

Adakah ini yang dimaksudkan dengan cinta?

Adakah ini keserasian yg akan melahirkan kebersamaan menuju syurga Allah?

Alangkah rugi… jika kekasih di dunia, menjadi seteru pula di akhirat!

“Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan, dan memelihara kehormatan mereka, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.”

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya…”

(Surah An-Nur 24:30-31)

Menjaga pandangan adalah usaha kita menyucikan hati…jauh dari fitnah hati…fitnah yang lebih membahayakan kita…Janganlah kita tertipu dengan jelingan. Jangan pula merancakkannya dengan renungan. Apatah lagi khayalan…

Kerana aku dan kau adalah semata-mata untuk Dia. Pernikahan adalah demi membuktikan cinta teragung kepadaNya, untuk menguatkan jiwa, menyuburkan iman yang terkadang malap bila sendirian. Biarlah bahtera dan nakhodanya berdua akan seiring selamat sampai ke destinasi akhir,untuk menyambung kisah bahagia di syurga, buat selama-lamanya.

Ia bukan cinta biasa. Bukan juga keinginan biasa. Bukan cita-cita peribadi seperti biasa. Tetapi segalanya adalah demi membuktikan Allah itulah cinta kita. Tiada yang pertama selain Dia.

No comments: