Sunday 15 June 2008

Selamat Hari Bapa~

’Happy father's day’. Hari istimewa itu hadir lagi buat tahun ini. Perkataan-perkataan yang sentiasa membuat mata ku berkaca. Bapa, ayah, father. Setiap kali kedengaran perkataan-perkataan ini pastiku teringatkan arwah ayah. Senyumannya yang manis, lesung pipit di pipi dan mata yang tertutup separuh setiap kali senyuman terukir dibibirnya. Pastiku warisi ciri itu daripada ayah. Iras-iras wajah cina kerana ayah punya darah indonesia. Ayah..Ayah..Hanya Allah yang tahu betapa diri ini ingin sekali mengungkap perkataan itu. Aku kira sudah 9 tahun tidakku ungkapkan perkataan itu pada seseorang yang bernama ayah. Teringin yang amat sangat hati ini memegang dan mencium tangan seorang ayah.

Ya Allah...Tak terungkap rindu dihati ini. Ya 'Alim, tiada siapa yang dapat membaca hati ini kecuali engkau ya Rabb. Ya Sami', hanya Engkau yang Maha Mendengar doa-doa ku ini. Temani malam-malam sunyi ku dengan kehadiran ayah ku di dalam mimipi-mimpi sementaraku. Mimpikan ayah adalah sesuatu yang ku tunggu-tunggu setiap malam sebelum tidur. Walau dapat berjumpa dengannya begini sudah cukup untuk mengukir senyuman ku selepas tersedar daripada mimpi.

Pemergian seseorang bernama ‘ayah’ mengajarku erti tabah seorang ibu yang dahulunya manja dan berubah menjadi seorang yang cekal mengharungi kepayahan hidup. Mendidikku erti sabar. Kesabaran untuk menyebut perkataan ayah seketika pertemuan kami kembali di Jannatullah. Dengan izin Allah, pemergiaan ayah menjadikan aku seorang yang kuat dan tidak mudah berputus asa di medan perang. Kerana kutahu, kalau aku dapat bertahan setelah ketiadaan ayah, tiada apa selainNya yang dapat mematahkan semangatku. Pemergian ayah memaksaku untuk mematangkan diri, berusaha keras untuk berjaya, hidup berdikari dan bersederhana. Keadaan yatimku mengingatkan pada Rasulullah tercinta yang tidak pernah mengerti kasih seorang bapa kandung. Tapi dengan rahmat dan kurniaNya, baginda sentiasa dikelilingi oleh kaum keluarga dan sahabat-sahabat yang menyayangi baginda lebih daripada segala-galanya. Aku bersyukur Ya Wadud kerana Kau telah memberikan nikmat yang serupa pada diri kerdil ini. Ya Jabbar, mmg benar. Kau telah mengambil semula matahari yang menerangi hidupku dulu tapi dalam tak sedar Kau sediakan pula pelangi untuk mewarnai hari2ku. Kehilangan ini mendekatkan aku dengan Maha Pencipta. Mendidikku untuk berharap. Berharap hanya pdNya dan membuktikan kekerdilanku sebagai hamba Allah Tuhan sekalian alam.

Ya Allah, jika kehilangan kasih sayang seorang ayah adalah yang terbaik buat ku, Kau berikanlah ketabahan pada hati lemah ini untuk meneruskan hari-hari ini tanpa nikmatMu ini. Aku pasti, Kau mempunyai dan mengetahui hikmah disebalik keperitan yang terpaksa ku tanggung ini kerana sesunggunhnya Kau Maha Adil. Pasti Kau telah sediakan hikmah dan ganjaran setiap kali hati ini terhiris dek rindu yang amat dalam pada ayah. Ya Mujib,tiada apa yang aku harapkan melainkan Kau tempatkannya dikalangan hamba-hambaMu yang Kau kasihi dan beriman. Dengan izinMu, aku pasti, Kau telah mengira setiap titis air mataku yang akan kau gantikan dengan mutiara di akhirat kelak..

Buat ayah, tak perlu ayah risau. InsyaAllah, anakanda mu akan berusaha menjadi anak yang solehah dan senantiasa mendoakan kebahagianmu di sana. Janji ya? Yang ayah akan tunggu anakandamu ini di pintu Jannah. Kita akan berjalan bersama berpimpin tangan. Sama-sama menunggu saat yang dinanti-nanti. Saat bertemu dan melihat wajahNya..insyaAllah....

1 comment:

zahratulhilal said...

beautifully written... :)