Alhamdulillah…
Tika diri amat memerlukan kekuatan itu Dia sampaikan aku ke sana jua.
Walaupun aku tahu aku tak mampu kerana banyak lagi tanggungjawab yang harus ku dahulukan tapi aku tak mampu lagi menipu diri. Aku fikir aku mampu bertahan. Tetapi tuntutan belajar amat cepat sekali menyerap kekuatan ku. Pantas sekali jiwa ku merasa kering. Jiwa ini amat dahagakan siraman ukhuwah dan pelukan mahabbah rijal-rijal aqidah itu.
“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.”
Ya, mereka yang bila mana ku lihat terus mengingatkan ku pada Yang Maha Esa. Bila kudengari daripada mereka alunan bacaan Quran bergetar jiwa dan gugur air mata kerana merasai manisnya nikmat ukhuwwah ini. Cinta yang terlahir kerana Allah semata.
Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”.
Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan ruh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita”.
Perjalanan 4 jam ku ke situ dipenuhi tausiyah daripada murabbi yang tak pernah lelah dan berputus asa membina diri yang agak lambat ini. Dengan penuh sabar dia melayan kerenah-kerenah ku tanpa merungut. Besar sekali harapannya agar aku mampu berdiri sendiri menjadi kader dakwah yang mampu mengerakkan dakwah di bumi mana pun ku berpijak. Waktu perjalanan sebegini ku lebih gemar hanya mendengar dan menghadam nasihat-nasihat dan pengalaman dakwahnya dan manusia-manusia disekelilingnya. Aku kagum tapi lebih malu dengan diri sendiri apabila mengenangkan peribadi-peribadi dakwah yang ku kenali. Seperti dakwah itulah udara yang mereka sedut dan makanan yang mengerakkan mereka. Bangun dan jaga mereka abadikan pada dakwah. Perasaan, cinta, jiwa dan pemikiran mereka hanya berlegar pada dakwah. Sepertimana tulisan Allayarham Ust Rahmat Abdullah,
”Memang seperti itulah dakwah. Dakwah adalah cinta. Dan cinta akan meminta semuanya dari dirimu. Sampai pikiranmu. Sampai perhatianmu. Berjalan, duduk, dan tidurmu..Bahkan di tengah lelapmu, isi mimpimu pun tentang dakwah. Tentang umat yg kau cintai..”
Keringnya otak mereka hanya kerana memastikan dakwah tidak terkubur di bumi UK/Eire ini mahupun di seantero dunia.
”Syeikh al-Kailani meringkaskan sifat-sifat da’i dan syarat-syarat untuk mendapat perakuan thiqah di dalam satu sifat yang padat; iaitu sifat tajarrud yang sempurna dan melibatkan diri secara total ke dalam dakwah. Dengan demikian, da’i itu akan lupakan kepentingan dirinya. Tumpuannya hanyalah kepada orang yang diserunya dan hanya menuturkan perkataan yang memberi kebaikan kepada mad’u. Dunia da’i pula adalah luas tanpa had, tanpa perniagaan, tiada hawa nafsu dan tiada mengejar pangkat. Semua itu tiada dalam dunianya. Yang ada di dalam dunia da’i hanyalah para mad’u yang didakwahnya. Itulah perniagaannya, keenakannya dan pangkat kebesarannya.
“Dia seolah-olah menjadi manusia yang tidak mempunyai nafsu, keinginan dan keseronokan dunia. Dia lupa makan minumnya, pakaiannya, hatta dirinya sendiri kerana mengenangkan makhluk Allah S.W.T. Di dalam hatinya tidak ada dirinya. Yang ada hanyalah makhluk Allah S.W.T (yang menjadi mad’unya). Apa yang dimintanya hanyalah perkara yang boleh membawa kebaikan kepada manusia kerana dia telah menyerahkan dirinya di bawah ketentuan Allah S.W.T.”
(Muntalaq- Muhammad Ahmad Ar-Rasyid)
SubhanAllah. .
Pertemuan ruh yang hanya selama 6 jam amat-amat mengisi relung-relung jiwa ini. Walaupun perjalanan pergi dan balik ku ke sana lebih lama dan memakan masa 11 jam tapi tak terasa itu satu kerugian kerana perasaan ini hanya dapat ku kecapi dengan hamba-hamba Allah yang sangat dekat denganNya.
“Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, tidaklah engkau dapat menyatu-padukan di antara jantung hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan antara mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana”
(Surah al-Anfal: 63)
Betul kata-kata murabbi ku. Kadang-kadang pengorbanan kita untuk mencari ilmu itu akan lebih mendatangkan hasil kerana berkat Allah akan hadir bersama kalau kita ikhlas.
Berat hati meninggalkan mereka sebelum pulang tadi. Ya Rabb, aku berharap lebih panjang lagi waktu pertemuan ku dengan mereka. Belum puas lagi diri ini menenung wajah-wajah suci mereka. Belum cukup lagi semangat dan kekuatan yang ku sedut daripada mereka. Tapi ku tahu diri ini tak boleh manja. Allah sudah mendidik jiwa ku untuk tabah setelah tercampak di tempat itu selama 4 tahun. Air mata ini tidak lagi gugur di hadapan mereka. Biarlah ku simpan hanya untuk Yang Maha Mengetahui segala detik dan isi hati.
Termasuk dari 7 golongan yang mendapat perlindungan di akhirat sepertimana hadith RASULULLAH SAW bersabda yang antara maksudnya:
“... Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain naungan Allah; di antaranya ialah dua orang yang berkasih sayang kerana Allah yang kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah... ”
(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Diri ini kembali lagi ke dunia realiti. Medan tempur sebenar berbekalkan segenggam kekuatan daripadaNya.
Ya Allah, betapa Kau tahu aku ingin sekali ke syurgaMu bersama mereka....
@virgin cross country train, Leeds-Aberdeen
Sunday, 18 April 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)