Dengan izin Allah, pagi itu ambulan datang lagi membawa ayahnya ke hospital. Tak diingatnya itu kali ke berapa ayahnya terpaksa di bawa ke hospital. Tak diingatnya juga kenapa. Barangkali mungkin kerana kesukaran untuk bernafas kali ini. Sudah 3 bulan semenjak ayahnya menjalani pembedahan disebabkan barah paru-paru. Dia masih ingat lagi pada hari pembedahan itu dijalankan. Tidak pula dia rasa takut atau apa. Mungkin kerana dia masih kecil dan masih lagi tidak tahu keseriusan penyakit itu. Tapi dia masih ingat tertidur di atas kerusi dalam bilik hospital itu sambil berselimutkan kain pelekat ayahnya.
Selepas 3 bulan dari peristiwa itu, kesihatan ayahnya semakin teruk sedikit demi sedikit. Kesan daripada terapi chemo juga semakin menyerlah. Ayah semakin kurus, rambutnya yang nipis semakin luruh dan ayah yang dulunya suka makan semakin hilang selera. Tubuhnya yang dulu gagah pun semakin susut. Walaupun peristiwa-peristiwa dulu beransur luput daripada kotak ingatannya tetapi tak mungkin dilupakannya kesabaran mamanya sewaktu menjaga ayah. Dia masih ingat dengan cekal mama membawa ayahnya ke hospital untuk rawatan chemo. Diusung bersamanya kerusi roda ayahnya. Si mama yang dulunya sangat manja menjadi wanita tabah kerana desakan keadaan, dengan izin Allah.
Ambulan terus pergi membawa ayahnya. Sedikit sebak melihat ayahnya pergi kali ini. Dipujuk hatinya dengan menyakinkan diri bahawa dia akan jumpa lagi ayahnya. Kalau tidak hari itu, mungkin keesokan harinya, kalau Allah izinkan......
Sejak petang, gadis bertubuh kecil itu menunggu ditepi tingkap. Menanti kepulangan kakaknya dari kerja. Pelik. Selalunya kakaknya akan pulang waktu petang. Tapi langit sudah gelap tika itu. Beberapa kali dia menjenguk kan kepala keluar tingkap. Resah gelisah menunggu kerana hatinya kepingan sekali menjenguk ayahnya di hospital petang itu. Diselaknya langsir sekali lagi dan tersenyum gembira melihat kelibat kakaknya yang baru pulang. Tapi wajah kakak tampak penat dan masam. Mungkin kerana penat bekerja sepanjang hari.
”Eee, jom gi hospital tengok ayah...”
Tak ingat apa dijawab kakaknya tapi perbualan mereka disampuk oleh neneknya yang tinggal sementara di rumah menolong mamanya.
“Kak eee kan penat tue. Dah malam ni. Esok kita pi hospital tengok ayah k?”
Hampa. Dia teringin sangat nak jumpa ayahnya. Rindu. Semalam sewaktu ayahnya di bawa ke hospital, tak sempat salam dan cium tangan ayahnya. Pagi sebelum ayahnya pergi tak sempat sapukan minyak zaitun dan air zamzam sambil bacakan doa pada luka parut pembedahan. Subuh itu pun dia tak tolong ambilkan wudu’ untuk ayahnya. Itulah antara rutin harian semenjak ayahnya menjalani pembedahan.
Malam itu dia tidur sendirian di bilik mama dan ayahnya kerana mama tidur di hospital menemani ayah. Berselimutkan kain pelekat dan baju sejuk kegemaran ayahnya. Rindu. Hanya bau ayahnya yang melekat pada kain pelekat dan baju yang menjadi pengubat rindu. Hatinya dipujuk kembali. Tak mengapa, ada hari esok untuk bertemu ayahnya, dengan izin Allah...........
Pagi itu dia dikejutkan dengan panggilan telefon. Suara tangisan nenek dan kakaknya membuatnya buntu. Airmata terus menitik setelah dia mengerti apa yang berlaku. Ya Allah...tak terlintas langsung dibenak fikirannya ayah akan pergi walaupun keadaan ayah semakin teruk........
Biarlah kenangan ini berhenti setakat di sini.....hati si gadis kecil itu kian ’sakit’ mengenang kembali saat-saat yang tak mungkin dilupakan dalam hidupnya walaupun telah berlalu 11 tahun yang lalu.........
Moga Allah mencucuri rahmat dan menempatkan ayahnya dikalangan hamba-hambaNya yang soleh..Semoga Allah izinkan untuk bertemu kembali dengan ayahnya di Jannah kelak..Pertemuan yang lebih bermakna daripada di dunia yang fana ini, iaitu ketika si gadis kecil dan ayahnya bersama-sama melihat wajah Allah SWT..
InsyaAllah..InsyaAllah..InsyaAllah..
*Jam 5 pagi, Jumaat, 5 Februari 2010 ini iAllah dah 11 tahun ayah si gadis kecil pulang menemui Allah SWT...doakan si gadis kecil terus berusaha menjadi anak yang solehah dan menjadi mujahidah dakwah agar apabila dia pula pulang bertemu Allah SWT sebagai syuhada' kelak dapat dia membawa mama dan ayahnya bersama-sama ke Jannah*
Monday, 1 February 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)