Sunday, 18 April 2010

pertemuan ruh

Alhamdulillah…


Tika diri amat memerlukan kekuatan itu Dia sampaikan aku ke sana jua.

Walaupun aku tahu aku tak mampu kerana banyak lagi tanggungjawab yang harus ku dahulukan tapi aku tak mampu lagi menipu diri. Aku fikir aku mampu bertahan. Tetapi tuntutan belajar amat cepat sekali menyerap kekuatan ku. Pantas sekali jiwa ku merasa kering. Jiwa ini amat dahagakan siraman ukhuwah dan pelukan mahabbah rijal-rijal aqidah itu.


“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.”


Ya, mereka yang bila mana ku lihat terus mengingatkan ku pada Yang Maha Esa. Bila kudengari daripada mereka alunan bacaan Quran bergetar jiwa dan gugur air mata kerana merasai manisnya nikmat ukhuwwah ini. Cinta yang terlahir kerana Allah semata.


Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?”.

Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan ruh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita”.



Perjalanan 4 jam ku ke situ dipenuhi tausiyah daripada murabbi yang tak pernah lelah dan berputus asa membina diri yang agak lambat ini. Dengan penuh sabar dia melayan kerenah-kerenah ku tanpa merungut. Besar sekali harapannya agar aku mampu berdiri sendiri menjadi kader dakwah yang mampu mengerakkan dakwah di bumi mana pun ku berpijak. Waktu perjalanan sebegini ku lebih gemar hanya mendengar dan menghadam nasihat-nasihat dan pengalaman dakwahnya dan manusia-manusia disekelilingnya. Aku kagum tapi lebih malu dengan diri sendiri apabila mengenangkan peribadi-peribadi dakwah yang ku kenali. Seperti dakwah itulah udara yang mereka sedut dan makanan yang mengerakkan mereka. Bangun dan jaga mereka abadikan pada dakwah. Perasaan, cinta, jiwa dan pemikiran mereka hanya berlegar pada dakwah. Sepertimana tulisan Allayarham Ust Rahmat Abdullah,

”Memang seperti itulah dakwah. Dakwah adalah cinta. Dan cinta akan meminta semuanya dari dirimu. Sampai pikiranmu. Sampai perhatianmu. Berjalan, duduk, dan tidurmu..Bahkan di tengah lelapmu, isi mimpimu pun tentang dakwah. Tentang umat yg kau cintai..”



Keringnya otak mereka hanya kerana memastikan dakwah tidak terkubur di bumi UK/Eire ini mahupun di seantero dunia.

”Syeikh al-Kailani meringkaskan sifat-sifat da’i dan syarat-syarat untuk mendapat perakuan thiqah di dalam satu sifat yang padat; iaitu sifat tajarrud yang sempurna dan melibatkan diri secara total ke dalam dakwah. Dengan demikian, da’i itu akan lupakan kepentingan dirinya. Tumpuannya hanyalah kepada orang yang diserunya dan hanya menuturkan perkataan yang memberi kebaikan kepada mad’u. Dunia da’i pula adalah luas tanpa had, tanpa perniagaan, tiada hawa nafsu dan tiada mengejar pangkat. Semua itu tiada dalam dunianya. Yang ada di dalam dunia da’i hanyalah para mad’u yang didakwahnya. Itulah perniagaannya, keenakannya dan pangkat kebesarannya.


“Dia seolah-olah menjadi manusia yang tidak mempunyai nafsu, keinginan dan keseronokan dunia. Dia lupa makan minumnya, pakaiannya, hatta dirinya sendiri kerana mengenangkan makhluk Allah S.W.T. Di dalam hatinya tidak ada dirinya. Yang ada hanyalah makhluk Allah S.W.T (yang menjadi mad’unya). Apa yang dimintanya hanyalah perkara yang boleh membawa kebaikan kepada manusia kerana dia telah menyerahkan dirinya di bawah ketentuan Allah S.W.T.”

(Muntalaq- Muhammad Ahmad Ar-Rasyid)




SubhanAllah. .



Pertemuan ruh yang hanya selama 6 jam amat-amat mengisi relung-relung jiwa ini. Walaupun perjalanan pergi dan balik ku ke sana lebih lama dan memakan masa 11 jam tapi tak terasa itu satu kerugian kerana perasaan ini hanya dapat ku kecapi dengan hamba-hamba Allah yang sangat dekat denganNya.



“Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, tidaklah engkau dapat menyatu-padukan di antara jantung hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan antara mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana”

(Surah al-Anfal: 63)



Betul kata-kata murabbi ku. Kadang-kadang pengorbanan kita untuk mencari ilmu itu akan lebih mendatangkan hasil kerana berkat Allah akan hadir bersama kalau kita ikhlas.


Berat hati meninggalkan mereka sebelum pulang tadi. Ya Rabb, aku berharap lebih panjang lagi waktu pertemuan ku dengan mereka. Belum puas lagi diri ini menenung wajah-wajah suci mereka. Belum cukup lagi semangat dan kekuatan yang ku sedut daripada mereka. Tapi ku tahu diri ini tak boleh manja. Allah sudah mendidik jiwa ku untuk tabah setelah tercampak di tempat itu selama 4 tahun. Air mata ini tidak lagi gugur di hadapan mereka. Biarlah ku simpan hanya untuk Yang Maha Mengetahui segala detik dan isi hati.



Termasuk dari 7 golongan yang mendapat perlindungan di akhirat sepertimana hadith RASULULLAH SAW bersabda yang antara maksudnya:



“... Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain naungan Allah; di antaranya ialah dua orang yang berkasih sayang kerana Allah yang kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah... ”

(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)




Diri ini kembali lagi ke dunia realiti. Medan tempur sebenar berbekalkan segenggam kekuatan daripadaNya.



Ya Allah, betapa Kau tahu aku ingin sekali ke syurgaMu bersama mereka....




@virgin cross country train, Leeds-Aberdeen

Monday, 1 February 2010

dengan izin Allah..

Dengan izin Allah, pagi itu ambulan datang lagi membawa ayahnya ke hospital. Tak diingatnya itu kali ke berapa ayahnya terpaksa di bawa ke hospital. Tak diingatnya juga kenapa. Barangkali mungkin kerana kesukaran untuk bernafas kali ini. Sudah 3 bulan semenjak ayahnya menjalani pembedahan disebabkan barah paru-paru. Dia masih ingat lagi pada hari pembedahan itu dijalankan. Tidak pula dia rasa takut atau apa. Mungkin kerana dia masih kecil dan masih lagi tidak tahu keseriusan penyakit itu. Tapi dia masih ingat tertidur di atas kerusi dalam bilik hospital itu sambil berselimutkan kain pelekat ayahnya.

Selepas 3 bulan dari peristiwa itu, kesihatan ayahnya semakin teruk sedikit demi sedikit. Kesan daripada terapi chemo juga semakin menyerlah. Ayah semakin kurus, rambutnya yang nipis semakin luruh dan ayah yang dulunya suka makan semakin hilang selera. Tubuhnya yang dulu gagah pun semakin susut. Walaupun peristiwa-peristiwa dulu beransur luput daripada kotak ingatannya tetapi tak mungkin dilupakannya kesabaran mamanya sewaktu menjaga ayah. Dia masih ingat dengan cekal mama membawa ayahnya ke hospital untuk rawatan chemo. Diusung bersamanya kerusi roda ayahnya. Si mama yang dulunya sangat manja menjadi wanita tabah kerana desakan keadaan, dengan izin Allah.

Ambulan terus pergi membawa ayahnya. Sedikit sebak melihat ayahnya pergi kali ini. Dipujuk hatinya dengan menyakinkan diri bahawa dia akan jumpa lagi ayahnya. Kalau tidak hari itu, mungkin keesokan harinya, kalau Allah izinkan......

Sejak petang, gadis bertubuh kecil itu menunggu ditepi tingkap. Menanti kepulangan kakaknya dari kerja. Pelik. Selalunya kakaknya akan pulang waktu petang. Tapi langit sudah gelap tika itu. Beberapa kali dia menjenguk kan kepala keluar tingkap. Resah gelisah menunggu kerana hatinya kepingan sekali menjenguk ayahnya di hospital petang itu. Diselaknya langsir sekali lagi dan tersenyum gembira melihat kelibat kakaknya yang baru pulang. Tapi wajah kakak tampak penat dan masam. Mungkin kerana penat bekerja sepanjang hari.

”Eee, jom gi hospital tengok ayah...”

Tak ingat apa dijawab kakaknya tapi perbualan mereka disampuk oleh neneknya yang tinggal sementara di rumah menolong mamanya.

“Kak eee kan penat tue. Dah malam ni. Esok kita pi hospital tengok ayah k?”

Hampa. Dia teringin sangat nak jumpa ayahnya. Rindu. Semalam sewaktu ayahnya di bawa ke hospital, tak sempat salam dan cium tangan ayahnya. Pagi sebelum ayahnya pergi tak sempat sapukan minyak zaitun dan air zamzam sambil bacakan doa pada luka parut pembedahan. Subuh itu pun dia tak tolong ambilkan wudu’ untuk ayahnya. Itulah antara rutin harian semenjak ayahnya menjalani pembedahan.



Malam itu dia tidur sendirian di bilik mama dan ayahnya kerana mama tidur di hospital menemani ayah. Berselimutkan kain pelekat dan baju sejuk kegemaran ayahnya. Rindu. Hanya bau ayahnya yang melekat pada kain pelekat dan baju yang menjadi pengubat rindu. Hatinya dipujuk kembali. Tak mengapa, ada hari esok untuk bertemu ayahnya, dengan izin Allah...........

Pagi itu dia dikejutkan dengan panggilan telefon. Suara tangisan nenek dan kakaknya membuatnya buntu. Airmata terus menitik setelah dia mengerti apa yang berlaku. Ya Allah...tak terlintas langsung dibenak fikirannya ayah akan pergi walaupun keadaan ayah semakin teruk........

Biarlah kenangan ini berhenti setakat di sini.....hati si gadis kecil itu kian ’sakit’ mengenang kembali saat-saat yang tak mungkin dilupakan dalam hidupnya walaupun telah berlalu 11 tahun yang lalu.........

Moga Allah mencucuri rahmat dan menempatkan ayahnya dikalangan hamba-hambaNya yang soleh..Semoga Allah izinkan untuk bertemu kembali dengan ayahnya di Jannah kelak..Pertemuan yang lebih bermakna daripada di dunia yang fana ini, iaitu ketika si gadis kecil dan ayahnya bersama-sama melihat wajah Allah SWT..



InsyaAllah..InsyaAllah..InsyaAllah..

*Jam 5 pagi, Jumaat, 5 Februari 2010 ini iAllah dah 11 tahun ayah si gadis kecil pulang menemui Allah SWT...doakan si gadis kecil terus berusaha menjadi anak yang solehah dan menjadi mujahidah dakwah agar apabila dia pula pulang bertemu Allah SWT sebagai syuhada' kelak dapat dia membawa mama dan ayahnya bersama-sama ke Jannah*

Thursday, 28 January 2010

berlayarlah kapalku ke arah redhaNya....


Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kapal-kapal [yang berlayar] di laut seperti gunung-gunung. (32) Jika Dia menghendaki Dia akan menenangkan angin, maka jadilah kapal-kapal itu terhenti di permukaan laut. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda [kekuasaan]-Nya bagi setiap orang yang banyak bersabar dan banyak bersyukur, (33) atau kapal-kapal itu dibinasakan-Nya karena perbuatan mereka atau Dia memberi ma’af sebagian besar [dari mereka]. (34) Dan supaya orang-orang yang membantah ayat-ayat [kekuasaan] Kami mengetahui bahwa mereka sekali-kali tidak akan memperoleh jalan keluar [dari siksaan]. (35) Maka sesuatu apapun yang diberikan kepadamu, itu adalah keni’matan hidup di dunia; dan yang ada pada sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Tuhan mereka, mereka bertawakkal. (36) (As-Syura: 32-36)


Hidup itu ibarat kapal yang berlayar di laut yang luas dan tak bertepian. Kalau matlamat dan kompas yang digunakan itu betul, insyaAllah, sampailah kita pada destinasi yang diimpikan. Matlamat akhir kita ialah mardhotillah (redha Allah), Jannah dan pertemuan denganNya. Kompas kita pula Islam, Al-Quran dan As-Sunnah.

Tapi...kadang2, laut tak selalunya tenang. Perlayaran kita kadang2 tak seperti yang dirancang.
Kadang2 ada ribut. Ada petir. Ada ombak yang bergelora. Kapal kita pun terumbang-ambing.
Kadang2 angin tak bertiup dan kapal kita seperti tersadai di tengah laut yang dalam. Tak ke kiri, ke kanan pun tidak.

Itu semua berlaku atas izin dan ketentuan Allah SWT. Kalau nak difikirkan, boleh je Allah nak datangkan angin lalu kapal kita berlayar dengan lancar dan tenang. Terus sampai ke destinasi impian tanpa masalah dan tribulasi. Tapi dalam ayat surah As-Syura ni, Allah nak ingatkan, kalau Dia nak tenangkan angin nescaya kapa-kapal itu tak dapat bergerak. Kalau Allah nak tarik sebentar nikmat2 dalam hidup kita, nescaya kita akan kesedihan dan merasa lemah. Tetapi apa-apa sahaja yang ditentukan olehNya sama ada baik atau buruk, orang-orang yang banyak bersabar dan bersyukur akan tetap akur kerana mereka sedar hanya Allah berhak untuk tentukan segalanya.

Kerana hanya Dialah Maha Mengetahui, Maha Pemurah & Maha Penyayang, Maha Adil.

Dia tahu apa yang manusia tak tahu. Dia takkan bebankan hambaNya dengan ujian-ujian yang tak mampu ditanggung. Dia takkan biarkan hambaNya mengalami kesusahan tanpa memberi ganjaran atas tiap saat hambaNya menderita dengan penuh kesabaran dan bersyukur.

Monday, 25 January 2010

manusia pilihan

..Dia memilih mu kerana Dia tahu kau mampu....

La yukalli fullahu nafsan illa wus'aha...

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya
...(2:286)




Hanya padaMu kami berharap

Wednesday, 20 January 2010

Always be there



Bismillah..

Walaupun terasa seperti dihimpit-himpit,
dengan kepayahan,
masalah yang tiada penghujung,
yakin Allah itu ada,
dan Dia ada jawapan kepada segala permasalahan.

Bila ujian datang bertimpa-timpa,
dan tiada manusia yang memahami perasaan dan kekalutan ini,
yakin Allah itu ada,
yang mengetahui segala isi hati,
setiap kesedihan dan pahit jerih kepayahan...


"Dan apabila hamba-hambaku menanyakan kepadamu tentang Aku, sesungguhnya Aku dekat . Aku memperkenankan permohonan ( Doa ) seseorang bila ia memohon kepada-Ku. Karena itu hendaklah ia mentaati segala perintahku dan beriman kepada-Ku semoga ia selalu dalam kebenaran".
(Al-baqarah:186)

Tuesday, 12 January 2010

A journey to remember…

Bismillah..






Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, [yaitu] orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi [seraya berkata]: "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka."
(Ali Imran: 190-191)

Ya, tiap saat dan ketika kehidupan kita Allah hadir dan ada. Tapi perasaan ini hanya dapat dirasai oleh hambaNya yang berakal dan sering memikirkan tentangNya. Sering bersangka baik denganNya dan tercari-cari ibrah di sebalik setiap keadaan yang dialami. Dalam sedih dia bersabar, dalam gembira dia bersyukur dan pada sesuatu yang tidak pasti dia bertawakkal. Segala yang berlaku dia pulangkan sepenuhnya kepada Allah dengan redha.

Alhamdulillah, permusafiran 3 minggu kali ini sudah pun berakhir. MasyaAllah, tiap kali melalui tarbiyyah perjalanan pasti Allah kasi pengajaran2 yang sangat berharga. byk belajar drpd setiap sisters yang dijumpai sepanjang cuti ini . Maaf tak dapat nak tunaikan hak pada semua. InsyaAllah, ini sahaja yang termampu buat. Halalkan ya apa2 yang terpakai, terguna, terambil.

Banyak sangat benda nak kongsi tapi rasa sangat nak cerita something...

Alhamdulillah, ada satu hari ni ada sister beritahu dengan izin Allah, anak usrahnya mengambil keputusan untuk memakai tudung. SubhanAllah, tiada apa yang lebih menggembirakan hati bila dengar dan lihat seseorang itu mengambil satu langkah yang tak mudah dan sangat besar hanya kerana takutkan Allah SWT. Dah lama nak berjumpa dengannya dan berkongsi cerita dan pengalaman. Bersama mengimbau kembali sejarah hidupku yang lama. Kebanyakkan orang mempunyai zaman atau episod dalam hidupnya yang gelap dan hilang cahaya petunjuk daripdaNya. Dalam keadaan tak bersuluhkan taufik dan hidayah ini, kita bagai sesat. Sesat dalam kehidupan dunia yang penuh dengan kenikmatan dan senda-gurau. Kita rasa dan anggap hidup kita bahagia. Buat apa sahaja tanpa memikirkan halal dan haram. Tanpa memikirkan adakah betul pada pandangan Allah dan hukum syara’Nya. Hidup tanpa neraca pahala dan dosa, neraka dan syurga, rakib dan ’atid. Hidup yang tiada tujuan dan bagai lupakan kewujudan Allah SWT.

Ya, aku pernah melalui dan berada dalam keadaan itu. Kehidupan yang kecil dan bermatlamatkan kecil. Kehidupan yang hanya berlegar pada dunia dan apa yang dapat dilihat oleh mata kasar. Pemikiran yang sempit dan hanya terbatas pada ruang lingkup dunia. Tak tahu apa matlamat sebenar hidup di dunia ini. Kenal akhirat, syurga dan neraka tapi tak merasainya. Masakan tahu akhirat dan hari penghisaban kalau masih lagi melakukan maksiat dan kemungkaran?


Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah..
walaupun jiwa ini sudah bergelumang dan
berlumuran dengan kemaksiatan, kemungkaran dan jahiliyyah, Dia masih izinkan untuk merasai cahayaNya. Ya Allah, mengenangkan masa lampau yang gelap pekat dan kelam, rasa tak layak sangat diri ini. Astaghfirullah wal Hamdulillah. Bukan mudah untuk meninggalkan sesuatu yang sudah sebati dengan kita. Tak senang nak menukar cara hidup yang dulu kepada sesuatu yang kita tak biasa dan sangat asing. Perubahan yang kita tak pasti apa kesudahan dan penerimaan orang kepada kita. Perubahan ini bukan sahaja melibatkan fizikal dan luaran tapi yang lebih penting memerlukan pengorbanan jiwa, perasaan dan emosi yang sangat besar.

Dalam kita nak berubah menjadi hambaNya yang lebih baik, walaupun besar keputusan yang kita ambil ini dan banyak sangat risiko yang tak pasti, kita tempuhi juga hanya dengan berbekalkan keyakinan dan tawakkal kepada Allah yang Dia akan tolong.
Yang lain sudah tak penting lagi bagi kita. Dengan tabah kita pekak kan telinga, kita tebalkan muka, kita ’buta’kan hati pada kritikan-kritikan, komen-komen, sindiran-sindiran manusia lain pada kita. Yang hanya penting ialah apa Allah fikir tentang kita dan bagaimana Allah menilai kita. Penilaian manusia sudah tak bererti pada kita. Itulah kekuatan yang Allah berikan pada jiwa-jiwa yang berkorban dan mujahadah untuk melakukan apa yang di suruh Allah dan meninggalkan laranganNya.

Seringkali orang yang kenal diri ku sebelum dan selepas Allah izinkan untuk berubah akan menanyakan apa yang sebabkan aku berubah. Itu bukanlah soalan yang mudah untukku. Perubahan itu tak berlaku dalam sekelip mata. Allahualam. Mungkin ada orang yang lalui seperti itu. Perubahan ku lalui dengan berperingkat dan perlahan. Sedikit demi sedikit aku belajar tentang Islam dan berada lebih dekat denganNya. SubhanAllah, kawan-kawan di KYUEM (kolej persediaan) banyak membantu dan memberi sokongan. Mereka tak pernah layanku asing walaupun tak bertudung mula-mula dulu. Banyak benda2 basic dalam agama baru nak belajar di sana. Tapi mereka sekali pun tak pernah buatku rasa malu nak bertanya. Aku mulakan dengan bersolat penuh. Membetulkan bacaan Quran ku, berjinak-jinak pergi ke surau bersama chaletmate ku. Mendengar tazkirah di surau selepas subuh dan selepas asar. Mengenali Allah SWT sedikit demi sedikit. Makin kenal makin tertaut hati, rasa makin dekat rasanya denganNya. Alhamdulillah, even di sekolah dulu aku berminat nak dengar tentang agama walaupun tak amalkan apa yang belajar.

Apa yang paling ku ingat, suatu hari di KYUEM Allah detikkan hati ku yang menyebabkan aku bertekad untuk memakai tudung. Hati berbisik,

”Kalau kita tak buat apa Allah suruh, macam mana Allah nak kabulkan doa-doa kita?”

Semenjak itu aku betul2 rasa nak berubah. Hanya rakan2 yang rapat sahaja aku ceritakan hasrat ku ini. Aku yakin mereka2 lah orang yang paling banyak mendoakan agar Allah beri kekuatan untuk ku ambil langkah yang sangat besar dalam hidupku ini. Aku dah mula tak pakai baju-baju dulu. Mula banyakkan baju-baju lengan panjang, baju panjang, seluar panjang dan tak pakai baju-baju tak sesuai pakai dengan penampilan bertudung. Setelah beberapa bulan, Allah berikan kekuatan untuk pakai tudung. Alhamdulillah....itulah sedikit perkongsian yang mampu dititipkan, insyaAllah...

Alhamdulillah, 2 hari lepas sempat berjumpa sister ni. Hanya puji-pujian pd Allah dan senyuman dapat kuberikan melihat wajahnya yang tersenyum lebar pabila kami bertemu. Sambil memeluk ku dengan erat dia berkata,

”Kak, kite dah lama nak cakap ngan akak....”

Huhu..takut bila orang katakan begitu kerana aku bukanlah orang yang terbaik untuk memberikan nasihat tapi berbekalkan secebis pengalaman Allah kurniakan boleh lah nak dikongsikan dan bantu apa yang termampu.

”Awak, cepatlah cerita camne awak boleh berubah...”

Itu soalan pertama aku ajukan padanya. Seperti soalan yang orang lain sering ajukan padaku. Sister ini ceritakan bagaimana dia lalui fasa-fasa perubahannya, penerimaan keluarga dan perasaannya.

”Kak, macam mana yer nnt kita balik Malaysia nanti? Dengan cousins, family and kawan-kawan kita semua? That is my biggest fierce kak...”

Seperti ku, dia juga boleh dikatakan mengalami perubahan 180 darjah kalau nak dibandingkan dengan kehidupan kami yang dulu. Aku lihat matanya berkaca. Walaupun dalam keadaan senyum sambil mengajukan soalan itu, aku tahu dan dapat rasai ketakutan yang tersembunyi dalam hatinya. Mungkin bukan ketakutan. Tapi perasaan pada ketidakpastian. Tak tahu apa nak expect. Tak tahu apa reaksi orang-orang disekeliling kita. Keluarga kita. Teman-teman rapat kita.

Dik,
sedar atau tidak, itulah yang sering kali menjadi batu penghalang kita untuk berubah kan? Takut orang fikir apa, rasa apa, kata apa. Tapi itu normal. Sangat sangat normal. Kita nak berubah tapi pada masa yang sama masih lagi diterima dan tak disisihkan daripada mereka-mereka yang sangat kita kasihi dan cintai. People that are matters most and dearest to us. Apa yang akak mampu katakan, just be prepared. Bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang bakal tiba. Daripada sirah rasul2, Rasulullah dan hatta dalam Quran pun ada menyebut,

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah Al-Ankabut, ayat 2-3)

Kita bersedia dengan doa dan tawakkal sepenuh kita pada Allah. Dengan kefahaman agama Islam yang sebenar. Dengan amal-amal soleh kita. Dengan kekuatan emosi dan jiwa yang Allah bekalkan dengan tiap solat2 fardhu dan solat2 malam kita, tilawah-tilawah Quran kita. Sekarang masanya untuk kita menyediakan diri dan senjata-senjata untuk menghadapi ujian-ujian daripada Allah SWT dan bisikan-bisikan syaitan kelak. Yang sentiasa akan melemahkan semangat, menyebabkan kita sedih. Kalau tak kuat mungkin akan berputus asa dengan rahmat dan pertolongan Allah SWT. Na’uzubillah. Kalau kita buat betul2 krnNya, kena yakin Dia akan tolong awak hadapi semua tu. Ingat kan words kat desktop awk? Kata-kata Hajar sewaktu Ibrahim diperintahkan oleh Allah SWT untuk meninggalkan isteri dan anaknya tercinta di lembah yang tak berpenghuni;

"O Abraham! Where are you going, leaving us in this valley where there is no person whose company we may enjoy, nor is there anything?" She repeated that to him many times, but he did not look back at her. Then she asked him: 'Has Allah ordered you to do so?" He said, "Yes" She said, "Then He will not neglect us," and returned while Abraham proceeded onwards.

Ya, Allah izinkan kita untuk berubah dan Dia takkan meninggalkan kita. Betapa teruk pun keadaan yang kita kena hadapi He will always be with us as long as we never leave Him. Teruskan doa dan doa dan doa. Doa Allah kasi kekuatan dan agar kita redha dengan segala ketentuanNya. Bersama setiap kesusahan Dia dah sediakan kesenangan. Tingkatkan kesabaran sewaktu hadapi kesusahan tu dan bergembiralah dengan kesenangan yang menanti kita. Kalau tak dapat nikmati di dunia yang fana ini, Dia akan sediakan di akhirat kan?
Allahualam...

Tuesday, 15 December 2009

Wajah baru


Alhamdulillah..

Wajah baru,
Nafas baru,
Niat baru..

Moga iman dan amal juga lebih baik dan terus istiqamah..

Doakan..