Sunday 11 July 2010

wedding preparation

Setelah pulang ke tanah air aku tahu masih banyak urusan perkahwinan yang perlu diuruskan. Pening jugak bila memikirkan urusan perkahwinan ini tapi yang paling pening ialah menguruskan guest list. Sama la sikit dgn nak follow up mad'u kita sorang2 untuk ke program. huhu.

Keesokan hari selepas tiba di malaysia di kala masih jet lag, aku di bawa untuk fitting baju-baju yang sudah ditempah setahun yang lalu. Tak tahu bagaimana rupa dan bentuk baju2 itu kerana semua diserahkan kepada keluargaku. Dengan hati yang penuh tawakkal dan berdoa sangat pada Allah yang baju2 itu akan bertepatan dengan syari'e, aku pun cuba baju-baju itu. Walaupun tak la 100% memenuhi kriteria, tapi ok la memandangkan keluarga ku yang mencadangkan design tue, Alhamdulillah (setelah berpuluh kali aku ingatkan pakcik designer utk buat longgar dan labuh..huuu)

InsyaAllah, halangan satu dah pass. Tiba pula pada halangan ke-2 iaitu bab tudung! Hurm nie la paling payah....Semua tudung yang mereka sediakan pendek2 belaka. Ada yang panjang, mak pulak tak berkenan jenis kain tudung. Bila ada kain tudung yang sesuai, jarang pulak. Aduhh! Memang susah sungguh nak jumpa yang sesuai!

Baju nikah itu sgt cantik sbb kolarnya jenis high colar style cheogsam. Ditambah pula dengan manik2 yang sarat di bahagian leher dan dada. Ditambah pula aku mahukan tudung yang labuh menutupi dada, sempat kakak tue komen,

"Rugi la kalau di tutup manik2 tue dik!"

"Tak cantikla kalau labuh2 sgt. Kalau angkat sikit mcm nie ok la.."


Byk la lagi komen2 yg dilemparkan oleh semua org. Hurm terbakar juga telinga ini mendengar. Tapi hati ini sabar dan terus bersangka baik. Hati kecil berbisik,

Takpela, kakak2 ini belum paham lagi...

Susah juga bila mana kita sorang je dan terpaksa berdepan dengan 4-5 orang lain lagi yang berfikiran sama dan sama sekali bertentangan dengan kita. Tiba2 ibuku naik marah kerana sikapku yang berkeras kepala nak jugak tudung labuh,

"Dah, masukkan tudung tue dalam kolar, sehari je pun kawin dalam seumur hidup!"


Wahh..ini sangat menguji keimanan! rasa mcm nak menjerit je ckp, mati pun sekali seumur hidup tau! huuu T_T..tapi nasib baik tak terpacul drpd mulut ini..Alhamdulillah, Dia peliharaku..

Kesabaran ku sudah tidak dapat dibendung lagi! dengan selamba ku berkata,

"Habis tue apa gunanya pakai tudung kalau nampak dada!"

Wuaa geram sgt masa tue. Lepas ckp rasa menyesal sgt sbb smua kakak2 di kedai tue pakai tudung indonesia yg takat atas dada je. Ya Allah, tak berniat langsung nak menyindir mrk tapi itulah kebenaran. Terpaksa nyatakan walaupun pahit! tapi sgt la tak berhikmah kan..Astaghfirullah ... T_T kata2 ku itu seperti 'tindakan reflex!'

It was a bad 'tindakan reflex'..huu. .apa lagi kena la kan marah on the spot oleh ibu terchinta..dah kena marah2 tue terpaksala masukkan jugak tudung ke dalam kolar. sambil air mata bercucuran dan ibuku terus marah dengan suaranya yang sgt kuat, ku masukkan juga tudung ke dalam. melihat ku menangis, kakak2 tue terkesima dan panic tak tau nak buat ape. Sungguh la berdrama ok! huu..

Alhamdulillah, teknik air mata menjadi kali ini. Semua terpaksa akur dengan kedegilan ku untuk melabuhkan tudung. Tapi hati sangat sebak dan rasa marah sangat. Sedih kerana diri ini sangat lemah dalam nak menegakkan yang hak dan marah sangat kerana manusia dengan sesuka hati tak mahu ikut apa yang Allah perintahkan dan mengikuti hawa nafsu mereka!

"Ala dik, takkan taknak fit kan baju tue, tak cantik la!"

"Ala, takkan tudung tue nak biarkan labuh sampai ke bawah macam tue, nampak tak kemas lah!"


”Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Keterangan: Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

”Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. ” (An-Nur : 31)

”Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Ahzab : 59).


Apakah manusia mengira apa yang lebih cantik, lebih kemas dan konon yang elok pada pandangan mata mereka lebih hebat daripada apa yang Allah perintahkan dan suruh hambaNya jauhi?!!

Apakah mereka sanggup mengenepikan hukum hakam Ilahi hanya kerana hawa nafsu dan keinginan mereka untuk meraih 'kebahagian' duniawi sahaja?!

Apakah akhirat dan penilaian Allah sudah tidak penting dan manusia sanggup menjual akhirat mereka dengan harga yang murah?!

"Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? atau apakah kamu mengira bahwa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. Mereka itu (yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan) tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu.)" (Al-Furqaan: 43-44)

Ini baru soal baju kahwin. Belum lagi soal make-up.

"Ala sekali je nak cukur kening tue."

"Sekali je pun nak pakai bulu mata palsu. Kahwin kan sekali seumur hidup!"


Astaghfirullah. ... T_T

Wahai wanita-wanita sekalian,

Cukupkah hanya dengan alasan dan hujah "nak cantik", "nak ikut trend" atau kerana fesyen kita sanggup meringankan apa yang Allah SWT nak kita buat?

Tepuk dada tanyalah iman....

Harga syurga tak murah. Untuk membelinya kita harus bayar dengan harga yang mahal. Terpaksa dibayar dengan perasaan, jiwa dan apa-apa yang nafsu kita suka. Mungkin kita nampak seperti 'ketinggalan' , 'tak glamour', tak meraih 'kebahagian duniawi' pada pandangan manusia lain. Takpela, Allah yang akan menghisab kita bukan manusia lain. Yakinlah dengan janjiNya. Kita takkan pernah rugi.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min, diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. [Itu telah menjadi] janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya [selain] daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual-beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar." (At-Taubah:111)

Peringatan:
Dalam bab kahwin dan nak berhadapan dengan family kita, insyaAllah tak semua apa yang kita pegang dan harapkan dapat kita lakukan. Kadang2 ada sesetengah benda kita memang terpaksa akur dan pasrah dengan kehendak family kita. Cuma kita fight je sehabis termampu. Dan lepas itu kita tawakkal pada Allah SWT. Apa sahaja yang berlaku lepas itu insyaAllah yang terbaik dan kalau jadi sebaliknya, mungkin ada hikmah yang boleh diambil. Moga Allah SWT memberikan yang terhampir dengan redhaNya..

Saturday 3 July 2010

Tegakkanlah Rumah Tangga Muslim

Petikan dari buku Jalan Dakwah, Mustafa Masyhur

Memperbaiki diri sendiri dan menyeru orang lain kepada Allah merupakan dua kewajipan
asas di atas jalan dakwah dan wajib ke atas setiap muslim, lelaki dan wanita. Di samping dua kewajipan itu timbul lagi satu kewajipan yang tidak kurang pentingnya iaitu menegakkan rumahtangga muslim. Individu muslim itu adalah seorang manusia akidah yang wajib disediakan untuk menjadi muslim yang sejati, yang menjadi contoh Islam yang sahih dan teladan pemimpin yang patut diikuti. Kita sangat memerlukan rumahtangga muslim yang menjadi contoh sebagai tiang yang kuat di dalam pembangunan masyarakat Islam. Keluarga muslim mempunyai peranan yang penting di dalam kekuatan dan perpaduan masyarakat atau perpecahan dan kemusnahannya.

Rumahtangga merupakan pangkuan atau sarang bagi tunas-tunas baharu yang dididik dan
dibentuk di peringkat pembentukan dan persediaan. Rumahtanggalah yangbertanggungjawab
mencetak dan membentuk keteguhan peribadi anak-anak yang akan mencorakkan hidup mereka,benarlah Rasulullah s.a.w bersabda:

"Tiap anak itu dilahirkan di atas fitrahnya kejadian yang suci dan ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau menjadikannya Kristian ataupun menjadikannya Majusi".

Hadis Rasulullah s.a.w. mengenai pembangunan rumahtangga tidak dapat dibicarakan
hanya dengan satu atau dua artikel sahaja, tetapi kita perlu merujuk kepada buku-buku dan karangan-karangan yang telah mengupas perkara yang penting itu. Cukuplah saya terangkan sepintas lalu serba sedikit mengenainya supaya kita mendapat faedah daripadanya.

19.1 Pemilihan
Saudara muslim dan saudari muslimah yang mahu memperbaiki diri dan menyeru orang
lain kepada Allah wajib ke atas keduanya memilih pasangan masing-masing. Putera Islam mencari puteri Islam untuk menjadi isterinya yang solehah. Puteri Islam mencari putera Islam untuk menjadikan suaminya yang soleh untuk berkongsi kehidupan suami isteri. Dari awal-awal lagi hendaklah mereka membangunkan keluarga muslim yang diasaskan diatas dasar takwa. Saudara muslim yang sejati wajib mencari puteri Islam yang sejati dan memilih yang beragama, yang memahami tugas dan risalahnya di dalam kehidupan ini. Menjadikan pasangan hidupnya sebaik-baik penolong di atas jalan dakwah. Sentiasa mengingatkannya apabila dia lupa, sentiasa memberi perangsang dan tidak menghalangnya. Memelihara dirinya di waktu ketiadaannya walau berapa lama pun dan mendidik serta membentuk anak-anaknya menurut Islam yang sebenar.

Demikian juga puteri Islam yang sejati, tidak wajar dan tidak patut menerima sebarang
jejaka untuk menjadi pasangan hidupnya kecuali seorang muslim yang sejati yang menjadi pendokong dakwah Islam. Iaitu seorang penganut akidah yang sahih yang bertakwa kepada Allah. Si isterinya pula dapat menolongnya untuk taat setia kepada Allah dan mencapai keredhaan Allah. Dengan cara yang demikian kita telah berjaya membangunkan sebuah keluarga Islam yang akan menjadi pusat dakwah dan jihad Islam. Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan kita kepadanya dengan sabda baginda:

"Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya dan pangkatnya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengambil wanita yang beragama supaya kamu berbahagia".

Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w., tidak mengiktiraf wali yang menikahkan puterinya
dengan seorang lelaki yang tidak disukai oleh puterinya. Ini memberi peluang kepada puteri Islam untuk memilih suami yang soleh.

19.2 Beriltizam dengan Batas-batas Islam

Kita mahu supaya undang-undang dan adab-adab Islam mampu mengawal dan menguasai
setiap tahap dan peringkat pembangunan rumahtangga muslim. Sama ada dari peringkat pinangan, akad nikah, mempersiapkan rumahtangga sepasang suami isteri dan masa pengantin baru atau berbulan madu mestilah jauh dari adat lapuk jahiliah yang rosak. Sama ada jahiliah lama atau baru, yang bertentangan dengan syariat Allah Taala ataupun yang menjadi penghalang di jalan perkahwinan yang kadang-kadang menghalang langsung untuk terlaksananya perkahwinan. Mengapakah tidak dilaksanakan akad nikah itu di masjid? Di dalam udara yang bersih dan luas yang jauh dari sikap menunjuk-nunjuk dan adat-adat buruk? Berbelanja berlebih-lebihan dan boros yang bertentangan dengan syariat Islam? Cadangan itu adalah wajar. Akad nikah di dalam masjid tidak digemari oleh manusia sebagaimana dulu mereka tidak menggemari fesyen pakaian Islam.
Tetapi kalau kita bersungguh-sungguh mendesak dan bertegas untuk melangsungkan akad nikah di dalam masjid, lama kelamaan ia akan menjadi perkara yang di sukai oleh manusia dan akan menjadi perkara yang biasa. Sebagaimana fesyen pakaian Islam menjadi lumrah dan disukai oleh manusia. Sesungguhnya itulah pertentangan di antara kemuliaan dan kehinaan. Kalau kita berpegang teguh dengan kemuliaan dan adab-adab Islam, kita akan berjaya menegakkan dan menanamkan keperibadian Islam yang kita cita-citakan ke atas manusia.

19.3 Kebahagiaan Rumahtangga Yang di Cita-citakan
Apabila telah selesai pemilihan yang berasaskan agama, sempurnalah langkah-langkah yang menuju ke alam perkahwinan sesuai dengan ajaran Islam. Mulalah kita membangunkan rumahtangga muslim di atas asas yang teguh yang akan merealisasikan kemantapan, ketenangan dan kebahagiaan yang sejati yang selama ini dicari-cari oleh beberapa banyak keluarga pada zaman ini. Kebahagiaan itu bukan dari luar diri. Tidak pula dapat dicari dengan harta, tempat kediaman, pakaian dan perhiasan rumah. Tetapi kebahagiaan itu diperolehi dari dalam diri sendiri, dari ketakwaan kepada Allah. Kerana Allahlah yang mengurniakan kebahagiaan yang memberi mawaddah dan rahmah cinta dan kasih sayang di antara suami isteri. Benarlah Allah yang Maha Agung yang telah berfirman:

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cendurung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikannya di antaramu kasih dan sayang". Ar-Rum: 21


Kita tidak memandang kebahagiaan itu pada harta yang banyak, tetapi orang yang bertakwa itulah orang yang berbahagia.

19.4 Perkahwinan Itu Ibadat

Risalah dan tugas kita di dalam hidup ini ialah beribadat kepada Allah Taala. Oleh itu, kita mestilah berusaha menjadikan segala urusan hidup kita sebagai ibadat kepada Allah s.w.t. Kita jadikan seluruh kehidupan hidup sebagai alat untuk menghampirkan diri kepada Allah. Kita gunakan hidup kita dengan segala kemudahan yang ada untuk menolong kita beribadat kepada Allah. Kerjaya, perkahwinan, pendidikan anak-anak dan Iain-lain perkara yang merangkumi segala kegiatan hidup kita semuanya itu merupakan ibadat kerana Allah untuk menghampirkan diri kepada Allah asalkan ia dilakukan kerana mengharapkan keredhaan Allah dan menjauhi
kemurkaanNya.

Oleh itu putera puteri Islam mestilah menganggap urusan perkahwinan mereka sebagai
ibadah mereka kepada Allah apabila diurus menurut hukum Allah. Kedua-dua pihak mengharap keredhaan dan ganjaran Allah. Oleh kerana itu kedua belah pihak mestilah mengetahui ajaran-ajaran dan adab-adab Islam, hak-hak dan tanggungjawab suami isteri, rumahtangga dan keluarga, bersungguh-sungguh melaksanakan tugas masing-masing dan beriltizam dengan adab-adab itu. Tolong menolong ke arah kebaikan, menuju takwa dan ke arah mentaati Allah di dalam pergaulan mereka. Saling menghargai, saling menghormati dan berkasih sayang di antara keduanya semuanya itu mesti diatur menurut syariat Islam. Benarlah Rasulullah s.a.w. tatkala baginda bersabda yang
bermaksud:

"Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam itu lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air kemukanya" (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih)


19.5 Perkahwinan Itu Saling Percaya Mempercayai
Apabila telah wujud suasana saling percaya mempercayai cinta-mencintai di antara suami isteri, lahirlah kebahagiaan dan kepuasan jiwa di dalam rumahtangga mereka. Rumahtangga mereka menjadi rumahtangga muslim yang bahagia dalam kebahagiaan yang sejati selagi ianya diatur menurut peraturan syariat Islam. Hapuslah segala prasangka, hilanglah segala keraguan. Tiada lagi kata mengata, tuduh-menuduh dan kepura-puraan. Kebahagiaan yang sedemikian rupa tidak akan wujud kecuali di bawah naungan takwa kepada Allah dan mencintai Allah di waktu terang dan rahsia, di waktu tersembunyi dan waktu dilihat. Lantara itu, tenteramlah jiwa suami dan berpuas hati kepada isterinya dan yakinlah ia bahawa isterinya hanyalah untuk dirinya sendiri sahaja, yang memelihara diri walau berapa lama pun dia terpisah dari isterinya. Demikian juga sikap isterinya terhadap suaminya dibaluti dengan sepenuh kepercayaan itu. Di dalam suasana bahagia yang demikian, syaitan dari bangsa jin dan manusia tidak mempunyai jalan untuk mengganggu dan mengoda keduanya.

19.6 Perkahwinan Sebagai Syarikat Yang Dipimpin oleh Suami

Apabila kehidupan rumahtangga suami isteri dibangunkan di atas dasar kerjasama, di atas syura, tolong-menolong, cinta-mencintai, di bawah pimpinan suami sebagai pihak yang bertanggungjawab, yang mempunyai kata dan kuasa pemutus, inilah yang mendorong
melahirkan kemantapan, keteguhan, kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga dan keluarga yang selama ini diimpikan dan diidamkan oleh manusia di seluruh dunia. Jika masih terdapat kepincangan di dalam pertimbangan ini, maka tidak akan wujud satu kemantapan dan kebahagiaan. Benarlah Allah Taala di dalam firmanNya:

"Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang maaruf. Akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya". Al-Baqarah: 228

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah lebih melebihkan sebahagiaan mereka (lelaki) atas sebahagiaan yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian
dari harta mereka". An-Nisa': 34


Lantaran itu sempurnalah penntadbiran urusan rumahtangga dan pertimbangannya di
dalam suasana penuh kerjasama, tanggungjawab dan syura di dalam batas-batas ajaran Islam. Tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam rasa Qana’ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Jannatunna'im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w. kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tiada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w. tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga hari ini.

19.7 Perkahwinan Adalah Tanggungjawab dan Amanah

Suami isteri mestilah menyedari dan merasai bahawa mereka memikul amanah dan tanggungjawab. Setiap orang dari kamu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap
rakyatnya. Oleh itu, hendaklah kamu bertakwa kepada Allah di dalam perkara yang
dipertanggungjawabkan dan diamanahkan kepada kamu. Benarlah Allah yang berfirman:

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu". AtTahrim:6

Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik di kalangan kamu terhadap ahlinya".
Kita sentiasa memerlukan pertimbangan yang waras demi pemeliharaan itu, sebagai contoh, kita biasa memberi perhatian yang berlebihan apabila salah seorang dari anggota keluarga kita jatuh sakit. Tetapi perhatian yang sewajarnya tidak diberikan terhadap salah seorang anggota keluarga yang mencuaikan hak Allah atau menyalahi ajaran Islam, padahal itulah yang paling utama diperhatikan dan diubati.

19.8 Rumahtangga Muslim Merupakan Risalah
Sebagaimana kita menghendaki bentuk yang benar dan hidup bagai Islam dan seorang
muslim yang benar akidahnya, yang benar ibadatnya, yang benar akhlaknya, yang benar sikap dan yang benar segala tindak tanduk dan perkataannya, demikian juga kita menghendaki rumahtangga muslim itu supaya menjadi pusat perlaksanaan segenap ajaran Islam di dalam hidup berkeluarga dengan perlaksanaan yang selamat sejahtera dan teliti. Kita ingin melihat suami muslim yang memikul tanggungjawab terhadap rumahtangganya menurut ketentuan Islam. Kita mahu melihat bapa muslim yang memelihara anak-anaknya dengan adab-adab Islam, memberi kefahaman Islam yang sejati kepada mereka dan mengawasi mereka pada setiap peringkat hidup mereka. Kita mahu melihat isteri muslimah yang menjadikan rumahtangga sebagai taman sari yang memuaskan dan menggembirakan suaminya.

Di dalamnya terdapat hiburan dan keberkatan jauh dari kepayahan dan penat lelah
perjuangan dan menolong suaminya mentaati Allah Taala. Alangkah indah dan hebatnya kata-kata yang diucapkan oleh seorang isteri kepada suaminya tatkala dia keluar dari rumahnya di waktu pagi:

"Bertakwalah kepada Allah di dalam urusan kami dan janganlah kekanda memberi kami
makanan kecuali yang halal dan baik-baik sahaja".


Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim ini, ibu muslim yang memelihara anakanak dan membentuk mereka menurut acuan Islam kerana dialah yang sentiasa berdamping dengan mereka. Inilah risalah, amanah dan tugas para wanita dan isteri yang paling penting yang selama ini cuba dihapuskan oleh musuh-musuh manusia. Mereka cuba menyelewengkan fakta-fakta ini dari para isteri dengan berbagai-bagai pembohongan dan penipuan dengan tujuan untuk merobohkan bangunan masyarakat. Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim itu, putera puteri Islam yang sejati yang
memperhambakan diri mereka kepada Tuhan. Mereka mentaati Allah, berbuat baik dan berjasa kepada ibu bapa. Mereka bergaul dengan sahabat-sahabat mereka menurut adab-adab Islam dan tidak lahir dari mulut sepatah perkataan dan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan Islam. Kita mengingini rumahtangga muslim yang memelihara hubungan silaturrahim, yang sentiasa mengambil berat urusan kerabat dan menyempurnakan hak-hak mereka. Kita mahu melihat rumahtangga dan keluarga muslim menjadi satu bentuk yang ulung di mana Islam telah terpahat kukuh di dalam diri mereka. Mereka bergaul baik dengan khadam mereka, di mana khadam mereka makan apa yang mereka makan dan berpakaian seperti apa yang mereka pakai dan tidak membebankan sesuatu bebanan di luar kemampuannya. Apabila mereka membebankan sesuatu di luar kemampuannya, mereka menolongnya.

Kita ingin melihat dari rumahtangga muslim itu satu bentu yang unik sebagaimana yang
telah digariskan oleh Islam tentang berbuat baik di dalam bermuamalah dengan jiran. Mereka menyempurnakan hak jiran sebagaimana peranan Rasulullah s.a.w. Kita menghendaki rumahtangga muslim yang melahirkan contoh teladan yang baik dalam setiap aspek kehjdupan. Dengan fesyen pakaian yang Islamik, makanan dan minuman yang halal,
akhlak yang mulia, sikap yang Islamik, gaya yang Islamik dalam setiap adat dan tradisi, di waktu suka dan duka. Mereka menjauhi segala unsur-unsur jahiliah dan budaya jahiliah yang diimport dari luar. Kita tidak mahu melihat dari golongan sahib-ad-dakwah yang menyeru manusia kepada Allah, yang berjalan di atas jalan dakwah, melakukan sebarang kecuaian atau kelalaian di dalam melahirkan serta membina anggota-anggota keluarganya dengan ajaran Islam di dalam sebarang lapangan kehidupan keluarganya. Sesungguhnya orang yang lemah dalam memimpin rumahtangganya tidak akan mampu memimpin orang lain apatah lagi rumahtangga orang lain.

19.9 Rumahtangga Muslim Sebagai Markas Memancarnya Cahaya
Rumahtangga muslim yang sejati menurut tabiat dan lojiknya mesti menjadi pusat dakwah
Islam. Setiap anggota keluarga yang akil baligh wajib menjadi sahibud-dakwah, pendokong dakwah, menyeru rumahtangga dan keluarga sekitarnya kepada Allah dengan penuh kesabaran, dengan hikmah dan nasihat yang baik. Isteri yang solehah mampu menarik hati jiran-jiran dengan dakwah kepada Allah. Kehadiran mereka merubah majlis-majlis yang dikuasai oleh umpatmengumpat dan sia-sia menjadi majlis-majlis ilmu dan pelajaran dan ke arah memahami urusan agama. Bidang dakwah Islam sangat memerlukan saudari muslimat yang menyeru manusia kepada Allah, supaya memainkan peranannya di kalangan puteri bangsanya. Sesungguhnya wanita hari ini kecuali yang telah mendapat taufik Allah telah dijadikan boneka oleh musuh-musuh Islam untuk meruntuhkan dirinya dan memusnahkan orang lain. Tetapi kita hendaklah menjadikannya sebagai wanita solehah yang turut bersama kita untuk memperbaiki yang rosak dan membangunkan yang
maaruf dan merobohkan yang mungkar serta menghapuskan yang batil, menyokong kemuliaan dan memerangi kehinaan. Kita menghendaki rumahtangga muslim sebagai rumah api yang memberi panduan dan petunjuk kepada orang-orang yang bingung dan sesat di sekitarnya. la menghapuskan dan memusnahkan segala kegelapan di sekelilingnya serta menyinari jalannya untuk dilalui oleh mereka. Dengan bertambahnya rumah-rumah muslim seperti ini akan bersambung-sambunglah daerah-daerah nur dan cahaya dan bercantum di antara satu sama lain sehingga mampu menyinari masyarakat. Maka dengan demikian keperibadian Islam mampu menyinari masyarakat dan memimpinnya di bawah naungan Islam. Lantaran itu kemuliaan mudah dikembang-biakkan dan kejahatan mudah dihapuskan. Barulah mudah dibentuk dasar dan asas keimanan yang bersih dan mantap sebagai asas bangunan Islam dan pemerintahan Islam seterusnya kerajaan Islam yang
global. Untuk itu, saudara saudari putera puteri Islam harus dan patut bersungguh-sungguh dan bersegera membangunkan rumahtangga muslim yang ideal yang menjadi model Islam yang sejati untuk menjadi contoh teladan kepada generasi baharu. Ini adalah satu langkah yang penting dan asasi di jalan dakwah Islam. Mohonlah pertolongan dari Allah supaya Allah mudahkan dan jangan menyusahkan.

Wabillah hi taufik-wal-hidayah.